Misil Seawolf mengenai sasaran (all photos : TLDM)
TLDM sekali lagi membuktikan tahap kesiagaannya di tahap
tertinggi dengan kejayaan penembakan peluru berpandu atau misil dari permukaan
ke sasaran udara (surface to air) di Perairan Selat Melaka pada 23 Oktober
2012. Penembakan kontraktual misil jenis Vetical Launch Seawolf (VLSW) ini
telah dilancarkan dari platform kapal Kelas Frigat, Kapal Diraja (KD) LEKIU ke
sasaran udara TGX-2 yang ditunda oleh pesawat Learjet 35 A.
Penembakan misil Seawolf telah dilancarkan sewaktu siri
latihan bulanan Armada TLDM iaitu Perang Pangkor 9/2012 yang dilaksanakan
sekitar Perairan Selat Melaka Utara. Dalam penembakan pagi semalam, Seawolf
dari KD LEKIU telah berjaya mengenai dan memusnahkan sasaran pada jarak, ketinggian
dan kelajuan sepertimana yang telah diprogramkan. Seawolf mempunyai panjang 2.995
meter dengan berat 136.5 kilogram boleh meluncur pada kelajuan sehingga 333
meter sesaat serta boleh beroperasi dalam apa juga keadaan cuaca. Ia berupaya
memusnahkan sasaran udara seperti jet pejuang dan peluru berpandu.
Kejayaan penembakan ini nyata telah sekali lagi membuktikan keupayaan
aset dan sistem persenjataan TLDM berada di tahap yang amat meyakinkan. Ia juga
sekaligus menzahirkan kepada dunia bahawa keupayaan perang TLDM dan kompetensi
perancang latihan, pengendali, pengurusan, penyelenggaraan dan pengoperasian aset
Armada TLDM, berada di tahap kesiagaan yang tinggi dan terlatih. Untuk
rekod, pada tahun ini, TLDM pada 20 September 2012, telah berjaya
melancarkan misil jenis Exocet MM40 dari KD LEKIU dan misil jenis Sea
Skua dari helikopter TLDM jenis Super Lynx dalam Penembakan Bersepadu
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama TUDM dan TDM dalam Eksesais
ANGSA 7/2012.
Dalam menentukan kejayaan operasi penembakan kali ini,
pelbagai aset dan unit TLDM telah
terlibat dengan pelbagai tugas yang telah ditetapkan. Antara tugas yang
dilaksanakan ialah perancangan latihan, tinjauan dan pembersihan kawasan,
penyediaan misil dan rakaman serta analisis.
Aset dan unit TLDM yang terlibat diantaranya
ialah Markas Armada, Depot Peluru dan Letupan, KD LAKSAMANA MUHAMMAD AMIN, KD
SELANGOR, Combat Boat (CB) 90, pesawat Super Lynx, pesawat Fennec dan Tim
Rakaman dan Analisis dari Weapon Trial and Assesment Team (WTAT) dari Markas
Sitem Armada serta Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertahanan (STRIDE),
Kementerian Pertahanan. Kejayaan penembakan misil Seawolf dari KD LEKIU sekali
lagi telah melakarkan nama ATM dan TLDM khasnya sebagai pasukan Angkatan
Tentera yang wajar digeruni di rantau ini.
Sumber: DS
Tidak ada komentar:
Posting Komentar
KOMEN POSITIF "OK"